Strok haba: Jangan Ambil Ringan!

strok haba

Terkini kita dikejutkan dengan tragedi sebuah keluarga yang telah kehilangan anak mereka disebabkan strok haba. Jangan ambil mudah jika anak anda mengadu sakit kepala selepas bermain di taman.

Muka si anak merah-merah, tangan kesejukan, rasa pening nak muntah. Ini mungkin tanda anak anda mengalami strok haba yang sangat bahaya kepada nyawa!

Apakah Maksud Strok Haba?

Ianya merupakan suatu kondisi yang serius akibat pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan dan ianya berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40°C (darjah celsius) atau lebih.

Tanda atau Gejala Strok Haba

Orang awam perlu mengetahui tanda-tanda dan gejala berkaitan agar tindakan segera dapat diambil. Antara tanda-tandanya ialah:

– denyutan jantung menjadi cepat dan pesakit akan merasa berdebar-debar (denyutan jantung normal: 60-100/minit)

– pernafasan laju dan pendek (kadar pernafasan normal: 12-20/minit)

– badan terasa panas dan kering

– sakit kepala, pening dan kepala rasa berpusing

– tekak berasa mual-mual

– peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40°C atau lebih (suhu badan normal: 36.5°C hingga 37.5°C),

– tekanan darah menurun (tekanan darah normal: 120-140/60-80 mmHg)

– tidak sedarkan diri, pengsan atau sawan.

Langkah-langkah Pencegahan

Orang awam juga perlu mengetahui beberapa langkah pencegahan penting untuk mengelakkan berlakunya strok haba:

– tidak melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan panas untuk tempoh yang panjang,

– elak melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan,

– pastikan diri terhidrat dengan minum air kosong tiga (3) hingga empat (4) liter sehari,

– mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang, memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung,

– tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik

– memastikan pengudaraan yang mencukupi atau menghidupkan pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis tertutup

Segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik yang berhampiran sekiranya anda mempunyai tanda-tanda awal penyakit berkaitan strok haba ini.

Share this:
error: Content is protected !!